KL Zombi

KL Zombi
KL Zombi

Rabu, 18 Jun 2014

Ulasan Novel KL Zombi (Zombijaya) oleh Adib Zaini.

Ulasan Novel KL Zombi (Zombijaya) oleh Adib Zaini.
Ulasan oleh Shaifuddin Sabri.

Judul: KL Zombi (Zombijaya).

Penulis: Adib Zaini.

Penerbit: Buku Fixi.

Terbit: Ogos 2013.

Harga:

ISBN: 978-967-0374-39-0.

Novel yang mengisahkan tentang serangan zombi didalam bahasa Melayu rasanya belum ada dibukukan. Inilah novel zombi yang pertama di Malaysia. Novel seram- komedi ini menarik minat saya untuk membacanya berdasarkan tajuknya yang hebat- Zombijaya; dan isikandungnya; tentang zombi ganas yang memakan daging manusia. Peminat novel dan filem seram memang meminati zombi sebagai "raksasa pilihan."

Malangnya novel pertama nukilan Adib Zaini ini amat menjengkelkan saya! Ini disebabkan oleh penulis yang terlalu taksub berkiblatkan filem-filem yang dihasilkan dari Hollywood. Terdapat banyak elemen-elemen kebaratan didalam novel ini yang tidak sesuai langsung dengan budaya rakyat Malaysia yang pada pendapat saya masih ada elemen-elemen ketimuran. Memandangkan bahawa ianya adalah novel pertama, "kesilapan teknik" seperti ini masih boleh diperbaiki untuk menghasilkan novel yang betul-betul menyerlahkan identiti "Malaysia" dan bukan "Hollywoodsia."

Novel KL Zombi ini membawa kisah lima orang sahabat baik- Kamarul, Sofia, Aliff, Ana dan adik kembarnya, Nipis. Lima sahabat ini mendapati diri mereka mengalami mimpi ngeri, apabila Aliff digigit anjing yang membawa virus zombi. Aliff pula telah meniduri Ana yang kemudiannya meniduri Kamarul. Bermula dari mangsa gigitan anjing yang sedikit ini, virus zombi telah merebak menjangkiti ramai penduduk keseluruhan tanahair.

Nipis menjadi watak utama didalam novel. Beliau yang berwatak gila-gila dan tidak serius telah menjalani transformasi apabila melihat ibu dan kakaknya yang telah mati dan menjadi zombi. Nipis menjadi pendendam dan bersikap ganas. Tidak menjadi masalah besar untuknya membunuh zombi atau manusia yang mengancam nyawanya. Akhirnya hanya tinggal Nipis dan Kamarul sahaja yang masih hidup dari kumpulan berlima yang asal. Negara telah mengalami "kiamat" dimana epidemik zombi telah memusnahkan tamadun manusia dan manusia mengalami kehidupan ala zaman batu semula.

Antara kelemahan novel ini ialah, pengarang buku ini terlalu kebaratan dari segi penulisan, pengimejan dan isikandung cerita. Ungkapan berbahasa Inggeris seperti "Bingo" digunakan untuk menggantikan perkataan "Ya" atau "Saya setuju." Walaupun novel ini "urban," pada pendapat saya tidak ramai orang Malaysia yang menggunakan perkataan "Bingo" ini kecuali kalau mereka berada di Amerika Syarikat. Pegawai polis Malaysia pada hemat saya tidak makan donut seperti pegawai polis filem Hollywood. Sebaliknya mereka mungkin lebih suka makan roti canai dan minum teh tarik! Disebabkan "aura" kebaratan ini maka pembacaan saya jadi terbantut kerana klise-klise Hollywood yang terlalu banyak disogokkan didalam novel ini.

Penggunaan watak-watak yang berbilang bangsa didalam novel ini sebaliknya patut dipuji. Cuma watak-watak berbilang bangsa ini tidak memegang peranan penting dan cuma menjadi makanan zombi semata-mata. Sebagai peminat novel seram, saya rasa elemen suspens dan kengerian didalam novel ini boleh diterima dan ceritanya memacu pembaca untuk terus membaca sehingga kemuka surat terakhir.